Tiada Permohonan Maaf Dari Pihak Bertanggungjawab

Nortipah Khalid, 42, berkata setelah seminggu kejadian berlaku, beliau terkilan dan sedih dengan sikap pihak tersebut yang seolah-olah berdiam diri dan tidak menghubunginya.
“Saya tahu yang pergi tetap pergi, namun sekurang-kurangnya hubungi saya dan meminta maaf. Dia juga mungkin mempunyai anak. Itu yang membuatkan saya sedih,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM melalui Tabung Kecemasan Pelajar, di Kolej Kediaman Mawar, semalam.
Menurutnya, dia masih terkejut tetapi pasrah menerima takdir bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu sudah tiada.
“Kali terakhir saya bertemu Fatin, ketika arwah pulang bercuti Aidilfitri. Tiada sebarang perubahan dan saya baru bercakap melalui telefon seminggu sebelum itu,” ujarnya.
Fatin, maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah universiti berkenaan di dalam kawasan kampus. Mangsa dilanggar ketika berjalan bersama rakannya di kawasan Fakuti Komunikasi dan Pengajian Media.
Penuntut tahun kedua Diploma Sains Sukan dan Rekreasi itu meninggal dunia kira-kira 7.30 petang, hari sama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat pendarahan dalaman.
.jpg)
Difahamkan kedatangan Nortipah dan keluarga dari Dungun, Terengganu itu bagi mengambil barangan milik arwah Fatin yang menginap di Kolej Kediaman Mawar.Terdahulu, satu majlis ringkas bacaan doa diadakan, yang turut dihadiri pensyarah dan rakan -rakan arwah Fatin, dari Fakulti Sains Sukan UiTM.
No comments:
Post a Comment